Tuesday 1 June 2021

Bagaimana kerjaya kewartawanan saya bermula




Sempena dengan sambutan Hari Wartawan Malaysia pada 29 Mei (yang bersempena tarikh tertubuhnya Utusan Melayu), izinkan saya berkongsi kisah bagaimana bermulanya kerjaya kewartawanan saya.

Terceburnya saya ke dunia kewartawan bukanlah suatu yang dirancang dari awal, tak pernah terlintas dalam senarai cita-cita untuk masuk ke dunia ini. Keinginan untuk cuba menjadi wartawan timbul hanya sebulan sebelum saya memulakan kerjaya di Utusan Melayu (M) Bhd pada 1996.

Tapi hakikatnya bila direnung kembali, saya bagaikan sudah tertakdir untuk berjodoh dengan dunia ini sejak bertahun-tahun sebelum itu lagi.

Tahun 1987, saya dilantik menjadi Pengerusi Kelab Komputer di SMT Ipoh, dan salah satu aktivitinya mingguannya ialah menerbitkan buletin sekolah bertajuk "Mesej Komputer" atau ringkasnya "MesKom", kami jualnya di sekolah dengan harga 10sen senaskah. Tak semena-mena saya terpaksa jadi editor merangkap reporter!

Bila masuk ke program matrikulasi di UPM pada tahun 1989, bila part nak pilih kokurikulum, saya awalnya nak sambung je jadi budak pengakap. Tapi satu hari tu, dekat papan kenyataan KK6 ada jemputan untuk menghadiri satu bengkel penulisan. Timbul rasa nak join sekali.

Rupanya salah satu tujuan bengkel tersebut adalah mencari ahli untuk menubuhkan sebuah kelab baru di UPM, iaitu Kelab Akhbar Mahasiswa (KAM). Maka terjerumuslah saya sepenuh masa kokurikulum bersama kelab tu dan sempat merasa semua jawatan yang ada, hinggalah kepada level penasihat. Banyak pengalaman luar biasa yang kami lalui bersama KAM terutama bengkel2 dan ekspedisi2 serata negara yang kami anjurkan (termasuk bertemu teman hidup).

Sebelum menamatkan pengajian degree Fizik di UPM pada 1996, saya sudahpun bekerja di sebuah syarikat komputer di Serdang sebagai Marketing Exec (tapi buat technical support) sejak setahun sebelum tu. Dek rasa stress dan kurang seronok, pada Julai 1996, saya berhenti tanpa apa-apa perancangan dan hala tuju kerjaya.

Ogos 1996, Tun M umumkan pewujudan Multimedia Super Coridor (MSC), lalu terfikirlah dalam hati saya "hmm.. kalau susah-susah, boleh try apply untuk kerja dengan Berita Komputer (sisipan IT terbitan Berita Harian)". Itulah kali pertama saya benar-benar terfikir untuk jadi wartawan (walaupun tidak serius sangat).

Tup-tup Utusan Malaysia terbitkan sisipan IT juga bertajuk "Utusan Megabait" serentak dengan pelancaran MSC, dan ada iklan kecil di muka depannya untuk mencari wartawan. Berbekalkan pengalaman dari KAM semasa di UPM, dan tanpa sebarang pendidikan formal dalam jurusan berkaitan komunikasi, saya cuba apply.

Dipendekkan cerita, tanpa lalui proses interview yang rumit, dan tanpa persaingan, saya diterima sebagai wartawan untuk menulis di Utusan Megabait. Maka bermulalah episod yang baru dalam hidup saya untuk 22 tahun seterusnya.

Saya diajar bahawa tiada "kebetulan" dalam hidup ini, semuanya adalah "kebenaran".

Bagaimana kerjaya kewartawanan saya bermula

Sempena dengan sambutan Hari Wartawan Malaysia pada 29 Mei (yang bersempena tarikh tertubuhnya Utusan Melayu), izinkan saya berkongsi kisah ...