Asas memulakan perniagaan Internet

Ramai usahawan yang bertanya kepada saya bagaimana untuk bermula? Mereka berminat untuk menceburi perniagaan di Internet atau mengembangkan perniagaan yang sedia ada ke dalam Internet tetapi masih tidak jelas tentang cara-cara bagaimana untuk bermula.
Artikel ini akan membincangkan tentang asas-asas yang diperlukan untuk memulakan sesuatu perniagaan di Internet.

1. Komputer dan akses Internet

Perkara paling asas yang diperlukan tentulah komputer dan akses kepada Internet. Komputer desktop atau notebook yang anda sedia ada sama ada di rumah atau pejabat sudah cukup dan tidak perlu konfigurasi yang mahal atau canggih, asalkan boleh digunakan untuk melayari Internet.
Jika belum ada, komputer baharu berharga sekitar RM1,000 ke atas atau yang terpakai dengan harga tidak kurang RM300, serta talian Internet bermula dari RM90 sebulan adalah memadai.

Jika anda mempunyai telefon mudah alih atau komputer tablet seperti iPad yang boleh mengakses Internet, maka itu adalah bonus kepada anda kerana ia akan memudahkan anda mengakses Internet pada waktu-waktu yang kritikal.

Lengkapkan komputer anda dengan perisian anti virus dan keselamatan internet seperti Kapersky, AVG atau Norton. Kos perisian ini dianggarkan sekitar RM50 ke atas untuk langganan setahun. Ini penting untuk memastikan data perniagaan dan kewangan anda adalah selamat dan tidak diceroboh atau dicuri tanpa sedar.

Anda juga boleh memasang perisian penyuntingan grafik jika perlu untuk membuat suntingan imej. Adobe Photoshop adalah salah satu perisian yang sering digunakan oleh pereka grafik untuk manipulasi imej. Jika inginkan yang percuma, anda boleh cuba cari dan muat turun perisian GIMP. Perisian Picasa yang percuma dari Google juga boleh digunakan untuk menguruskan koleksi foto dan imej anda.

2. Idea perniagaan

Perkara kedua yang diperlukan ialah idea perniagaan anda, sama ada untuk mengembangkan perniagaan sedia ada atau meneroka peluang baru menerusi Internet.
Jika anda sudah mempunyai perniagaan sendiri sama ada secara sambilan atau sepenuh masa dan ingin menggunakan Internet untuk meluaskan potensi pasaran, anda wajar mengekalkan identiti, jenama atau keunikan perniagaan tersebut untuk mempercepatkan lagi penerimaan pelanggan terhadap kehadiran anda di Internet.
Segala maklumat perniagaan yang sedia ada boleh terus dimuatkan ke laman perniagaan dalam langkah ke seterusnya, dan ditambah baik dengan segala kemudahan yang terdapat di Internet seperti media sosial, shopping cart, pangkalan data keahlian dan bermacam lagi.
Sekiranya anda belum mempunyai sebarang perniagaan dan masih tercari-cari apakah yang anda hendak usahakan, fokuskan pencarian anda kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan minat atau kemahiran anda yang sedia ada.
Tanya diri sendiri, apakah perkara yang menyeronokkan bagi anda, apakah hobi anda, apakah kemahiran unik yang anda miliki, atau mungkin apakah masalah anda.
Jika anda seorang yang suka bergaya, mungkin perniagaan yang berkaitan dengan pakaian dan aksesori sesuai untuk anda. Jika hobi anda adalah memancing, mungkin perniagaan alatan memancing atau menulis blog tentang tips memancing adalah sesuai bagi anda.
Sekiranya anda memang pakar dalam merekabentuk grafik ataupun mengaturcara sistem, mungkin anda boleh tawarkan khidmat anda kepada syarikat atau individu yang memerlukan.
Atau sekiranya anda mempunyai masalah kesihatan tertentu, gunakan sifat ingin tahu anda untuk membuat penyelidikan di Internet dan berkongsi maklumat, panduan dan produk yang berkaitan tentang masalah tersebut melalui blog.
Anda juga boleh memuat turun ebook percuma tentang idea-idea untuk menjana pendapatan secara dalam talian menerusi blog saya di www.hasanihassan.com.

3. Tapak perniagaan

Perniagaan anda di Internet perlukan tempat untuk beroperasi, dan ia ibarat ruang pejabat maya di mana anda akan bekerja.
Ini merujuk kepada tapak di mana anda hendak letak perniagaan, dan secara fizikalnya ia bermaksud server atau komputer pelayan yang akan mengehoskan laman perniagaan tersebut.
Bagi kebanyakan orang, ini mungkin merisaukan mereka apabila membayangkan kos yang terlibat, tetapi hakikatnya Internet telah menjadikan perkara ini sangat mudah dan anda sebenarnya boleh memiliki tapak tersebut dengan kos sewaan sekitar RM30 sebulan atau lebih murah.
Dalam istilah Internet, ini disebut sebagai web hosting dan ia mempunyai pelbagai saiz, fungsi dan caj yang berbeza.
Jangan terkejut jika saya katakan ramai usahawan Internet yang menjana pendapatan ratusan ribu ringgit setahun dengan hanya membayar web hosting RM30 sahaja sebulan.
Sebagai contoh, anda boleh mendapatkan web hosting pada kadar RM25 sebulan daripada www.crochosting.com yang boleh digunakan untuk membina seberapa banyak laman web perniagaan, blog atau kedai online yang anda mahu.
Pemilihan pakej hosting adalah bergantung kepada bentuk aplikasi yang akan digunakan dan anggaran jumlah pengunjung yang akan diterima.
Untuk permulaan pakej yang asas dan murah sudah cukup untuk anda gunakan, dan biasanya boleh menampung 1,000 sehingga 10,000 pengunjung sehari. Pakej tersebut boleh dinaik taraf atau dipindah ke syarikat hosting lain sekiranya tapak web anda menjadi semakin sibuk.
Jika laman web anda menerima  sejuta kunjungan sehari dan menggunakan banyak aplikasi dalam talian serta skrip seperti Utusan Online, barulah anda perlu memiliki server sendiri dengan kos sekitar RM20,000 ke atas serta caj bulanan bermula dari RM500.
Jika anda tidak ingin mengeluarkan sebarang kos, anda masih boleh menggunakan banyak perkhidmatan percuma yang boleh dicari di Internet termasuklah seperti Blogger.com atau terus menggunakan Facebook sahaja seperti yang telah dibincangkan dalam artikel yang lalu.
Walau bagaimanapun, menggunakan perkhidmatan percuma tidak begitu mencerminkan keseriusan perniagaan anda dan kerugian dari aspek kredibiliti. Lagipun memiliki web hsoting sendiri yang berbayar memberi lebih fleksibiliti dan boleh memasang pelbagai aplikasi dalam talian seperti forum, shopping cart, direktori, galeri foto dan sebagainya.

4. Alamat perniagaan

Alamat perniagaan di Internet merujuk kepada nama domain iaitu apakah .com atau .com.my anda.
Alamat ini yang akan membolehkan pengguna Internet mencari anda. Nama domain adalah sesuatu yang berasingan daripada tapak atau web hosting anda, tetapi ia boleh ditempah bersama-sama.
Kebiasaannya syarikat yang menyediakan perkhidmatan web hosting akan turut menawarkan khidmat untuk mendaftarkan nama domain.
Bagaimanapun saya mengesyorkan agar anda mendaftarkan nama domain terus dengan syarikat pendaftar domain seperti domainregistry.my untuk domain tempatan (.my) ataupun godaddy.com, namecheap.com, dotster.com, atau register.com untuk domain antarabangsa.
Tujuannya adalah untuk memudahkan proses perpindahan server sekiranya ingin beralih kepada penyedia perkhidmatan web hosting lain ataupun ingin memiliki server sendiri nanti.
Gunakan domain .my sekiranya perniagaan anda bersifat setempat dan pasaran anda adalah di Malaysia sahaja.
Sekiranya anda mempunyai perancangan untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat global, gunakan domain .com, .net atau .org.
Banyak lagi pilihan sambungan nama domain yang boleh dipilih tetapi tidak popular dan jarang digunakan, ini termasuklah .info, .biz, .ws dan sebagainya.
Untuk pilihan yang terbaik, gunakan jenama anda sebagai nama domain kerana ia lebih mudah diingati dan dikaitkan dengan perniagaan anda.
Jika ada orang lain yang telah menggunakan nama tersebut, cuba variasi dengan sambungan domain yang berbeza seperti .com.my, .net.my, .net, .biz dan sebagainya.
Ataupun gunakan kombinasi jenama dengan nama lain yang sesuai. Untuk nama domain, anda boleh gunakan aksara A hingga Z, nombor 0 hingga 9 serta tanda sempang '-'.
Aksara unicode tertentu juga dibenarkan iaitu merujuk kepada tulisan seperti Cina, Jepun, Arab dan sebagainya, tetapi mungkin tidak sesuai untuk masyarakat kita yang sudah biasa dengan huruf Roman sahaja.
Jangan keliru dengan konsep premis perniagaan fizikal yang mana alamat perniagaan ditentukan oleh tapak dan lokasi premis. Di dalam Internet, nama domain dianggap sebagai alamat nyata yang kemudiannya akan diterjemah tanpa kita sedari kepada alamat sebenar lokasi server web hosting yang kita gunakan.
Alamat sebenar server adalah berbentuk nombor IP seperti 172.16.1.1 ataupun yang lebih memeningkan seperti fe80::202:b3ff:fe1e:8329 yang langsung tidak mesra pengguna.
Justeru, lokasi di mana server berada adalah tidak penting bagi seorang pelanggan kerana dia hanya perlu tahu nama domain anda sahaja.

5. Laman perniagaan

Peringkat seterusnya ialah menyediakan laman web perniagaan anda yang boleh diibaratkan seperti mengisi dan menghias tapak perniagaan anda dengan barangan jualan, kelengkapan pejabat, risalah promosi, penyambut tetamu, khidmat pelanggan dan sebagainya.
Cara yang cepat dan terbaik ialah dengan mendapatkan khidmat perekabentuk web untuk menyediakannya kepada anda dengan kos tertentu.
Cara yang percuma dan cepat pula ialah dengan memasang perisian-perisian pakej yang ditawarkan oleh syarikat web hosting.
Bergantung kepada pembekal web hosting anda, biasanya anda boleh mengakses antaramuka pentadbiran untuk akaun webhosting anda menerusi URL http://nama-domain-anda.com/cpanel.
Biasanya aplikasi asas seperti shopping cart, blog dan forum ada disediakan secara percuma untuk anda pasang dan guna. Kebanyakannya adalah mesra pengguna dan boleh digunakan tanpa keperluan kemahiran teknikal yang tinggi.
Bagaimanapun anda perlu tahu apa yang anda inginkan, dan lakukan sedikit penyelidikan di Internet tentang bagaimana untuk menggunakan atau mengubahsuai tetapan asas pada aplikasi-aplikasi web yang dipasang itu.
Laman www.putera.com ada menyediakan tutorial yang boleh anda rujuk tentang pengurusan laman web menggunakan cPanel.
Untuk membina laman web perniagaan, anda boleh gunakan sistem pengurusan kandungan (CMS) seperti Drupal, Joomla, Mambo, Xoops, PHP-Nuke dan Geeklog.
Blog pula biasanya boleh dipasang menggunakan aplikasi WordPress, Nucleus dan b2evolution. WordPress juga popular sebagai CMS untuk laman-laman perniagaan kerana mempunyai banyak aplikasi sambungan (plug-in) yang dibangunkan oleh pihak ketiga.
Untuk kedai online, anda boleh gunakan aplikasi e-dagang seperti CubeCart, Zen Cart atau OS Commerce. Banyak lagi aplikasi sumber terbuka lain yang sedia boleh digunakan untuk laman web anda.
Sebenarnya anda tidak perlu memasang banyak aplikasi, cukup sekadar satu atau dua aplikasi, contohnya WordPress dan OS Commerce sahaja.

6. Kandungan laman web

Akhir sekali muatkan laman web anda dengan isi-isi kandungan yang berkaitan dengan idea perniagaan yang telah anda rancang.
Aplikasi seperti OS Commerce boleh digunakan untuk menyenaraikan produk-produk perniagaan anda dalam bentuk katalog dan terus dihubungkan dengan payment gateway.
Sementara aplikasi seperti WordPress bukan sahaja boleh diguna untuk menulis blog, tetapi juga dijadikan laman web korporat atau ruang pameran untuk produk dan perkhidmatan yang anda tawarkan.
Jangan lupa juga letakkan maklumat mengenai syarikat anda dan bagaimana pelanggan boleh berhubung dengan anda untuk maklumat lanjut.

Apabila semuanya sudah bersedia, teruskan dengan langkah mempromosi dan menarik pelanggan untuk datang ke laman web.


Powered by Blogger.