Wednesday 6 March 2013
4 keperluan kepuasan manusia
Hari ini saya terpanggil untuk menulis tentang 4 keperluan kepuasan manusia yang saya namakan "4 pillars of satisfaction".
4 pillars of satisfaction ini ialah Fizikal, Intelektual, Emosi dan Spiritual. Keempat-empat keperluan ini perlu dipenuhi secara seimbang untuk mencapai kepuasan yang maksimum. Penuhi keperluan ini dalam berorganisasi dan anda akan dapat sebuah organisasi yang efektif dan produktif. Penuhi keperluan ini dalam kekeluargaan dan jadilah keluarga yang bahagia. Dan penuhi keperluan itu dalam urusan perniagaan, maka beruntunglah anda.
Biar saya jelaskan dengan menceritakan melalui situasi-situasi yang biasa berlaku dalam kehidupan seharian kita.
Saya dapati dalam urusan kerja seharian di dalam jabatan tempat saya bekerja dengan sebuah jabatan lain, terdapat rasa yang tidak senang sering tercetus, terutama dalam situasi-situasi yang kritikal.
Bila dilihat kembali, kedua-dua jabatan sebenarnya bekerjasama dalam menjalankan tugas masing-masing dengan baik, tetapi mengapa boleh timbul rasa geram, marah, tension dan lain-lain emosi negatif antara mereka.
Bila Jabatan A memerlukan sesuatu perkhidmatan dari Jabatan B, maka Jabatan B yang diwujudkan untuk membantu urusan dan memenuhi keperluan Jabatan A akan mengambil tindakan yang sewajarnya. Tugasan yang diberikan oleh Jabatan A itu menjadi keperluan Fizikal yang menjadi tanggungjawab Jabatan B untuk dipenuhi. Tetapi persoalannya cukupkah dengan keperluan Fizikal sahaja? Bagaimana kalau keperluan itu gagal dipenuhi dengan sempurna 100%?
Jika Jabatan B mengambil masa yang lama untuk memenuhi keperluan Jabatan A, tentu ia akan menguji kesabaran Jabatan A, dan jika berlarutan akan mencetuskan rasa tidak puas hati, marah, geram, rasa hendak mengamuk dan sebagainya. Apabila Jabatan A mula mendesak Jabatan B, maka Jabatan B pula yang akan mula tercabar Emosi mereka.
Hakikatnya ia berpunca apabila Jabatan B gagal memenuhi keperluan Fizikal Jabatan A dalam waktu yang dikehendaki. Tanpa disedari sebenarnya ada keperluan lain dari Jabatan A yang tersirat. Keperluan itu sentiasa ada tetapi pada peringkat awalnya ia tidak penting, tetapi apabila keperluan Fizikal gagal dipenuhi, keperluan lain itu menjadi semakin penting. Pada saat itu, Jabatan A perlu tahu (keperluan Intelektual) dan faham (keperluan Spiritual) kenapa tugasan yang diberikan masih belum boleh diselesaikan. Tekanan di Jabatan A juga semakin meningkat dan perlu diredakan (keperluan Emosi).
Sepatutnya bila Jabatan B dapat menjangkakan bahawa keperluan Fizikal Jabatan A tidak dapat dipenuhi dalam waktu yang dikehendaki, ia sewajarnya penuhi dahulu keperluan-keperluan lain tadi yang sudah menjadi penting. Umpamanya menjelaskan situasi semasa (keperluan Intelektual) dan meminta Jabatan A bersabar (keperluan Emosi). Sebahagian daripada keperluan itu boleh dipenuhi sejak dari awal lagi melalui komunikasi antara kedua-dua jabatan iaitu melalui percakapan yang sopan santun beserta senyuman (keperluan Emosi) dan juga dengan membuat penjelasan tentang apa strategi untuk menyelesaikan tugasan berkenaan (keperluan Intelektual).
Jadi dalam sebuah organisasi, kita semua adalah manusia dan manusia sentiasa perlukan Emosi yang stabil, Fizikal yang cergas, Intelektual yang lengkap dan Spiritual yang mantap.
Setiap unit yang memberi khidmat bukan sekadar bertanggungjawab memenuni keperluan Fizikal pelanggan, tetapi juga keperluan Emosi mereka bersama dengan keperluan Intelektual. Kalau dapat layan sedikit keperluan Spiritual pun lagi elok.
Bila kita bekerja dalam sesebuah organisasi, tanggungjawab kita adalah untuk selesaikan tugasan (Fizikal), menjaga keharmonian dan kemesraan sesama pekerja (Emosi), berkongsi ilmu pengetahuan (Intelektual) serta berpesan-pesan tentang amanah, kebenaran dan seumpamanya (Spiritual).
Begitu juga dalam hubungan kekeluargaan. Dalam kita berumahtangga dan menjadi ketua keluarga, tanggungjawab kita bukan setakat zahir seperti makan, minum, pakaian dan tempat tinggal (Fizikal) untuk ahli keluarga saja tetapi juga dari aspek batin iaitu perasan cinta & kasih sayang (Emosi), mendidik ilmu yang berguna (Intelektual) dan juga ilmu akhirat (Spiritual).
Tetapi bagaimana dengan pelajar di sekolah, adakah pembelajaran mereka seimbang dalam konteks empat keperluan ini?
Pembelajaran yang berorientasikan peperiksaan banyak memfokus kepada pembangunan Intelektual. Pelajar jadi "bijak" tapi masih ramai yang gagal untuk beradaptasi dalam masyarakat terutama bila tamat proses pembelajaran dan ingin memulakan kerjaya.
Mereka yang aktif kokurikulum dapatlah bangunkan potensi Fizikal manakala keperluan Spiritual diterapkan sebahagiannya masa kelas agama dan moral, manakala selebihnya diserah kepada sekolah agama.
Bagaimana dengan keperluan Emosi? Bagaimana pelajar sekolah memenuhi keperluan Emosi mereka? Pilihan yang ada hanyalah dengan meletakkannya di bahu ibu bapa dan masyarakat sekeliling.
Jika ibu bapa tidak dapat penuhi keperluan itu, maka mereka akan cari sendiri, biasanya melalui rakan sebaya. Dan apa seterusnya akan terjadi selepas itu bergantung kepada kebijaksanaan mereka memilih rakan tersebut.
Bagaimana kerjaya kewartawanan saya bermula
Sempena dengan sambutan Hari Wartawan Malaysia pada 29 Mei (yang bersempena tarikh tertubuhnya Utusan Melayu), izinkan saya berkongsi kisah ...
-
Hari ini saya terpanggil untuk menulis tentang 4 keperluan kepuasan manusia yang saya namakan " 4 pillars of satisfaction ". 4...
-
Mungkin kita sedia maklum bahawa ramai pengguna Internet mendakwa mereka berupaya memperoleh pendapatan yang lumayan dari Internet, tetapi ...
-
Ramai usahawan yang bertanya kepada saya bagaimana untuk bermula? Mereka berminat untuk menceburi perniagaan di Internet atau mengembangkan ...