Tuesday 1 June 2021

Bagaimana kerjaya kewartawanan saya bermula




Sempena dengan sambutan Hari Wartawan Malaysia pada 29 Mei (yang bersempena tarikh tertubuhnya Utusan Melayu), izinkan saya berkongsi kisah bagaimana bermulanya kerjaya kewartawanan saya.

Terceburnya saya ke dunia kewartawan bukanlah suatu yang dirancang dari awal, tak pernah terlintas dalam senarai cita-cita untuk masuk ke dunia ini. Keinginan untuk cuba menjadi wartawan timbul hanya sebulan sebelum saya memulakan kerjaya di Utusan Melayu (M) Bhd pada 1996.

Tapi hakikatnya bila direnung kembali, saya bagaikan sudah tertakdir untuk berjodoh dengan dunia ini sejak bertahun-tahun sebelum itu lagi.

Tahun 1987, saya dilantik menjadi Pengerusi Kelab Komputer di SMT Ipoh, dan salah satu aktivitinya mingguannya ialah menerbitkan buletin sekolah bertajuk "Mesej Komputer" atau ringkasnya "MesKom", kami jualnya di sekolah dengan harga 10sen senaskah. Tak semena-mena saya terpaksa jadi editor merangkap reporter!

Bila masuk ke program matrikulasi di UPM pada tahun 1989, bila part nak pilih kokurikulum, saya awalnya nak sambung je jadi budak pengakap. Tapi satu hari tu, dekat papan kenyataan KK6 ada jemputan untuk menghadiri satu bengkel penulisan. Timbul rasa nak join sekali.

Rupanya salah satu tujuan bengkel tersebut adalah mencari ahli untuk menubuhkan sebuah kelab baru di UPM, iaitu Kelab Akhbar Mahasiswa (KAM). Maka terjerumuslah saya sepenuh masa kokurikulum bersama kelab tu dan sempat merasa semua jawatan yang ada, hinggalah kepada level penasihat. Banyak pengalaman luar biasa yang kami lalui bersama KAM terutama bengkel2 dan ekspedisi2 serata negara yang kami anjurkan (termasuk bertemu teman hidup).

Sebelum menamatkan pengajian degree Fizik di UPM pada 1996, saya sudahpun bekerja di sebuah syarikat komputer di Serdang sebagai Marketing Exec (tapi buat technical support) sejak setahun sebelum tu. Dek rasa stress dan kurang seronok, pada Julai 1996, saya berhenti tanpa apa-apa perancangan dan hala tuju kerjaya.

Ogos 1996, Tun M umumkan pewujudan Multimedia Super Coridor (MSC), lalu terfikirlah dalam hati saya "hmm.. kalau susah-susah, boleh try apply untuk kerja dengan Berita Komputer (sisipan IT terbitan Berita Harian)". Itulah kali pertama saya benar-benar terfikir untuk jadi wartawan (walaupun tidak serius sangat).

Tup-tup Utusan Malaysia terbitkan sisipan IT juga bertajuk "Utusan Megabait" serentak dengan pelancaran MSC, dan ada iklan kecil di muka depannya untuk mencari wartawan. Berbekalkan pengalaman dari KAM semasa di UPM, dan tanpa sebarang pendidikan formal dalam jurusan berkaitan komunikasi, saya cuba apply.

Dipendekkan cerita, tanpa lalui proses interview yang rumit, dan tanpa persaingan, saya diterima sebagai wartawan untuk menulis di Utusan Megabait. Maka bermulalah episod yang baru dalam hidup saya untuk 22 tahun seterusnya.

Saya diajar bahawa tiada "kebetulan" dalam hidup ini, semuanya adalah "kebenaran".

Sunday 29 December 2013

Asas memulakan perniagaan Internet


Ramai usahawan yang bertanya kepada saya bagaimana untuk bermula? Mereka berminat untuk menceburi perniagaan di Internet atau mengembangkan perniagaan yang sedia ada ke dalam Internet tetapi masih tidak jelas tentang cara-cara bagaimana untuk bermula.
Artikel ini akan membincangkan tentang asas-asas yang diperlukan untuk memulakan sesuatu perniagaan di Internet.

1. Komputer dan akses Internet

Perkara paling asas yang diperlukan tentulah komputer dan akses kepada Internet. Komputer desktop atau notebook yang anda sedia ada sama ada di rumah atau pejabat sudah cukup dan tidak perlu konfigurasi yang mahal atau canggih, asalkan boleh digunakan untuk melayari Internet.
Jika belum ada, komputer baharu berharga sekitar RM1,000 ke atas atau yang terpakai dengan harga tidak kurang RM300, serta talian Internet bermula dari RM90 sebulan adalah memadai.

Jika anda mempunyai telefon mudah alih atau komputer tablet seperti iPad yang boleh mengakses Internet, maka itu adalah bonus kepada anda kerana ia akan memudahkan anda mengakses Internet pada waktu-waktu yang kritikal.

Lengkapkan komputer anda dengan perisian anti virus dan keselamatan internet seperti Kapersky, AVG atau Norton. Kos perisian ini dianggarkan sekitar RM50 ke atas untuk langganan setahun. Ini penting untuk memastikan data perniagaan dan kewangan anda adalah selamat dan tidak diceroboh atau dicuri tanpa sedar.

Anda juga boleh memasang perisian penyuntingan grafik jika perlu untuk membuat suntingan imej. Adobe Photoshop adalah salah satu perisian yang sering digunakan oleh pereka grafik untuk manipulasi imej. Jika inginkan yang percuma, anda boleh cuba cari dan muat turun perisian GIMP. Perisian Picasa yang percuma dari Google juga boleh digunakan untuk menguruskan koleksi foto dan imej anda.

2. Idea perniagaan

Perkara kedua yang diperlukan ialah idea perniagaan anda, sama ada untuk mengembangkan perniagaan sedia ada atau meneroka peluang baru menerusi Internet.
Jika anda sudah mempunyai perniagaan sendiri sama ada secara sambilan atau sepenuh masa dan ingin menggunakan Internet untuk meluaskan potensi pasaran, anda wajar mengekalkan identiti, jenama atau keunikan perniagaan tersebut untuk mempercepatkan lagi penerimaan pelanggan terhadap kehadiran anda di Internet.
Segala maklumat perniagaan yang sedia ada boleh terus dimuatkan ke laman perniagaan dalam langkah ke seterusnya, dan ditambah baik dengan segala kemudahan yang terdapat di Internet seperti media sosial, shopping cart, pangkalan data keahlian dan bermacam lagi.
Sekiranya anda belum mempunyai sebarang perniagaan dan masih tercari-cari apakah yang anda hendak usahakan, fokuskan pencarian anda kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan minat atau kemahiran anda yang sedia ada.
Tanya diri sendiri, apakah perkara yang menyeronokkan bagi anda, apakah hobi anda, apakah kemahiran unik yang anda miliki, atau mungkin apakah masalah anda.
Jika anda seorang yang suka bergaya, mungkin perniagaan yang berkaitan dengan pakaian dan aksesori sesuai untuk anda. Jika hobi anda adalah memancing, mungkin perniagaan alatan memancing atau menulis blog tentang tips memancing adalah sesuai bagi anda.
Sekiranya anda memang pakar dalam merekabentuk grafik ataupun mengaturcara sistem, mungkin anda boleh tawarkan khidmat anda kepada syarikat atau individu yang memerlukan.
Atau sekiranya anda mempunyai masalah kesihatan tertentu, gunakan sifat ingin tahu anda untuk membuat penyelidikan di Internet dan berkongsi maklumat, panduan dan produk yang berkaitan tentang masalah tersebut melalui blog.
Anda juga boleh memuat turun ebook percuma tentang idea-idea untuk menjana pendapatan secara dalam talian menerusi blog saya di www.hasanihassan.com.

3. Tapak perniagaan

Perniagaan anda di Internet perlukan tempat untuk beroperasi, dan ia ibarat ruang pejabat maya di mana anda akan bekerja.
Ini merujuk kepada tapak di mana anda hendak letak perniagaan, dan secara fizikalnya ia bermaksud server atau komputer pelayan yang akan mengehoskan laman perniagaan tersebut.
Bagi kebanyakan orang, ini mungkin merisaukan mereka apabila membayangkan kos yang terlibat, tetapi hakikatnya Internet telah menjadikan perkara ini sangat mudah dan anda sebenarnya boleh memiliki tapak tersebut dengan kos sewaan sekitar RM30 sebulan atau lebih murah.
Dalam istilah Internet, ini disebut sebagai web hosting dan ia mempunyai pelbagai saiz, fungsi dan caj yang berbeza.
Jangan terkejut jika saya katakan ramai usahawan Internet yang menjana pendapatan ratusan ribu ringgit setahun dengan hanya membayar web hosting RM30 sahaja sebulan.
Sebagai contoh, anda boleh mendapatkan web hosting pada kadar RM25 sebulan daripada www.crochosting.com yang boleh digunakan untuk membina seberapa banyak laman web perniagaan, blog atau kedai online yang anda mahu.
Pemilihan pakej hosting adalah bergantung kepada bentuk aplikasi yang akan digunakan dan anggaran jumlah pengunjung yang akan diterima.
Untuk permulaan pakej yang asas dan murah sudah cukup untuk anda gunakan, dan biasanya boleh menampung 1,000 sehingga 10,000 pengunjung sehari. Pakej tersebut boleh dinaik taraf atau dipindah ke syarikat hosting lain sekiranya tapak web anda menjadi semakin sibuk.
Jika laman web anda menerima  sejuta kunjungan sehari dan menggunakan banyak aplikasi dalam talian serta skrip seperti Utusan Online, barulah anda perlu memiliki server sendiri dengan kos sekitar RM20,000 ke atas serta caj bulanan bermula dari RM500.
Jika anda tidak ingin mengeluarkan sebarang kos, anda masih boleh menggunakan banyak perkhidmatan percuma yang boleh dicari di Internet termasuklah seperti Blogger.com atau terus menggunakan Facebook sahaja seperti yang telah dibincangkan dalam artikel yang lalu.
Walau bagaimanapun, menggunakan perkhidmatan percuma tidak begitu mencerminkan keseriusan perniagaan anda dan kerugian dari aspek kredibiliti. Lagipun memiliki web hsoting sendiri yang berbayar memberi lebih fleksibiliti dan boleh memasang pelbagai aplikasi dalam talian seperti forum, shopping cart, direktori, galeri foto dan sebagainya.

4. Alamat perniagaan

Alamat perniagaan di Internet merujuk kepada nama domain iaitu apakah .com atau .com.my anda.
Alamat ini yang akan membolehkan pengguna Internet mencari anda. Nama domain adalah sesuatu yang berasingan daripada tapak atau web hosting anda, tetapi ia boleh ditempah bersama-sama.
Kebiasaannya syarikat yang menyediakan perkhidmatan web hosting akan turut menawarkan khidmat untuk mendaftarkan nama domain.
Bagaimanapun saya mengesyorkan agar anda mendaftarkan nama domain terus dengan syarikat pendaftar domain seperti domainregistry.my untuk domain tempatan (.my) ataupun godaddy.com, namecheap.com, dotster.com, atau register.com untuk domain antarabangsa.
Tujuannya adalah untuk memudahkan proses perpindahan server sekiranya ingin beralih kepada penyedia perkhidmatan web hosting lain ataupun ingin memiliki server sendiri nanti.
Gunakan domain .my sekiranya perniagaan anda bersifat setempat dan pasaran anda adalah di Malaysia sahaja.
Sekiranya anda mempunyai perancangan untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat global, gunakan domain .com, .net atau .org.
Banyak lagi pilihan sambungan nama domain yang boleh dipilih tetapi tidak popular dan jarang digunakan, ini termasuklah .info, .biz, .ws dan sebagainya.
Untuk pilihan yang terbaik, gunakan jenama anda sebagai nama domain kerana ia lebih mudah diingati dan dikaitkan dengan perniagaan anda.
Jika ada orang lain yang telah menggunakan nama tersebut, cuba variasi dengan sambungan domain yang berbeza seperti .com.my, .net.my, .net, .biz dan sebagainya.
Ataupun gunakan kombinasi jenama dengan nama lain yang sesuai. Untuk nama domain, anda boleh gunakan aksara A hingga Z, nombor 0 hingga 9 serta tanda sempang '-'.
Aksara unicode tertentu juga dibenarkan iaitu merujuk kepada tulisan seperti Cina, Jepun, Arab dan sebagainya, tetapi mungkin tidak sesuai untuk masyarakat kita yang sudah biasa dengan huruf Roman sahaja.
Jangan keliru dengan konsep premis perniagaan fizikal yang mana alamat perniagaan ditentukan oleh tapak dan lokasi premis. Di dalam Internet, nama domain dianggap sebagai alamat nyata yang kemudiannya akan diterjemah tanpa kita sedari kepada alamat sebenar lokasi server web hosting yang kita gunakan.
Alamat sebenar server adalah berbentuk nombor IP seperti 172.16.1.1 ataupun yang lebih memeningkan seperti fe80::202:b3ff:fe1e:8329 yang langsung tidak mesra pengguna.
Justeru, lokasi di mana server berada adalah tidak penting bagi seorang pelanggan kerana dia hanya perlu tahu nama domain anda sahaja.

5. Laman perniagaan

Peringkat seterusnya ialah menyediakan laman web perniagaan anda yang boleh diibaratkan seperti mengisi dan menghias tapak perniagaan anda dengan barangan jualan, kelengkapan pejabat, risalah promosi, penyambut tetamu, khidmat pelanggan dan sebagainya.
Cara yang cepat dan terbaik ialah dengan mendapatkan khidmat perekabentuk web untuk menyediakannya kepada anda dengan kos tertentu.
Cara yang percuma dan cepat pula ialah dengan memasang perisian-perisian pakej yang ditawarkan oleh syarikat web hosting.
Bergantung kepada pembekal web hosting anda, biasanya anda boleh mengakses antaramuka pentadbiran untuk akaun webhosting anda menerusi URL http://nama-domain-anda.com/cpanel.
Biasanya aplikasi asas seperti shopping cart, blog dan forum ada disediakan secara percuma untuk anda pasang dan guna. Kebanyakannya adalah mesra pengguna dan boleh digunakan tanpa keperluan kemahiran teknikal yang tinggi.
Bagaimanapun anda perlu tahu apa yang anda inginkan, dan lakukan sedikit penyelidikan di Internet tentang bagaimana untuk menggunakan atau mengubahsuai tetapan asas pada aplikasi-aplikasi web yang dipasang itu.
Laman www.putera.com ada menyediakan tutorial yang boleh anda rujuk tentang pengurusan laman web menggunakan cPanel.
Untuk membina laman web perniagaan, anda boleh gunakan sistem pengurusan kandungan (CMS) seperti Drupal, Joomla, Mambo, Xoops, PHP-Nuke dan Geeklog.
Blog pula biasanya boleh dipasang menggunakan aplikasi WordPress, Nucleus dan b2evolution. WordPress juga popular sebagai CMS untuk laman-laman perniagaan kerana mempunyai banyak aplikasi sambungan (plug-in) yang dibangunkan oleh pihak ketiga.
Untuk kedai online, anda boleh gunakan aplikasi e-dagang seperti CubeCart, Zen Cart atau OS Commerce. Banyak lagi aplikasi sumber terbuka lain yang sedia boleh digunakan untuk laman web anda.
Sebenarnya anda tidak perlu memasang banyak aplikasi, cukup sekadar satu atau dua aplikasi, contohnya WordPress dan OS Commerce sahaja.

6. Kandungan laman web

Akhir sekali muatkan laman web anda dengan isi-isi kandungan yang berkaitan dengan idea perniagaan yang telah anda rancang.
Aplikasi seperti OS Commerce boleh digunakan untuk menyenaraikan produk-produk perniagaan anda dalam bentuk katalog dan terus dihubungkan dengan payment gateway.
Sementara aplikasi seperti WordPress bukan sahaja boleh diguna untuk menulis blog, tetapi juga dijadikan laman web korporat atau ruang pameran untuk produk dan perkhidmatan yang anda tawarkan.
Jangan lupa juga letakkan maklumat mengenai syarikat anda dan bagaimana pelanggan boleh berhubung dengan anda untuk maklumat lanjut.

Apabila semuanya sudah bersedia, teruskan dengan langkah mempromosi dan menarik pelanggan untuk datang ke laman web.


Wednesday 6 March 2013

4 keperluan kepuasan manusia


Hari ini saya terpanggil untuk menulis tentang 4 keperluan kepuasan manusia yang saya namakan "4 pillars of satisfaction".

4 pillars of satisfaction ini ialah Fizikal, Intelektual, Emosi dan Spiritual. Keempat-empat keperluan ini perlu dipenuhi secara seimbang untuk mencapai kepuasan yang maksimum. Penuhi  keperluan ini dalam berorganisasi dan anda akan dapat sebuah organisasi yang efektif dan produktif. Penuhi keperluan ini dalam kekeluargaan dan jadilah keluarga yang bahagia. Dan penuhi keperluan itu dalam urusan perniagaan, maka beruntunglah anda.

Biar saya jelaskan dengan menceritakan melalui situasi-situasi yang biasa berlaku dalam kehidupan seharian kita.

Saya dapati dalam urusan kerja seharian di dalam jabatan tempat saya bekerja dengan sebuah jabatan lain, terdapat rasa yang tidak senang sering tercetus, terutama dalam situasi-situasi yang kritikal.

Bila dilihat kembali, kedua-dua jabatan sebenarnya bekerjasama dalam menjalankan tugas masing-masing dengan baik, tetapi mengapa boleh timbul rasa geram, marah, tension dan lain-lain emosi negatif antara mereka.

Bila Jabatan A memerlukan sesuatu perkhidmatan dari Jabatan B, maka Jabatan B yang diwujudkan untuk membantu urusan dan memenuhi keperluan Jabatan A akan mengambil tindakan yang sewajarnya. Tugasan yang diberikan oleh Jabatan A itu menjadi keperluan Fizikal yang menjadi tanggungjawab Jabatan B untuk dipenuhi. Tetapi persoalannya cukupkah dengan keperluan Fizikal sahaja? Bagaimana kalau keperluan itu gagal dipenuhi dengan sempurna 100%?


Jika Jabatan B mengambil masa yang lama untuk memenuhi keperluan Jabatan A, tentu ia akan menguji kesabaran Jabatan A, dan jika berlarutan akan mencetuskan rasa tidak puas hati, marah, geram, rasa hendak mengamuk dan sebagainya. Apabila Jabatan A mula mendesak Jabatan B, maka Jabatan B pula yang akan mula tercabar Emosi mereka.

Hakikatnya ia berpunca apabila Jabatan B gagal memenuhi keperluan Fizikal Jabatan A dalam waktu yang dikehendaki. Tanpa disedari sebenarnya ada keperluan lain dari Jabatan A yang tersirat. Keperluan itu sentiasa ada tetapi pada peringkat awalnya ia tidak penting, tetapi apabila keperluan Fizikal gagal dipenuhi, keperluan lain itu menjadi semakin penting. Pada saat itu, Jabatan A perlu tahu (keperluan Intelektual) dan faham (keperluan Spiritual) kenapa tugasan yang diberikan masih belum boleh diselesaikan. Tekanan di Jabatan A juga semakin meningkat dan perlu diredakan (keperluan Emosi).

Sepatutnya bila Jabatan B dapat menjangkakan bahawa keperluan Fizikal Jabatan A tidak dapat dipenuhi dalam waktu yang dikehendaki, ia sewajarnya penuhi dahulu keperluan-keperluan lain tadi yang sudah menjadi penting. Umpamanya menjelaskan situasi semasa (keperluan Intelektual) dan meminta Jabatan A bersabar (keperluan Emosi). Sebahagian daripada keperluan itu boleh dipenuhi sejak dari awal lagi melalui komunikasi antara kedua-dua jabatan iaitu melalui percakapan yang sopan santun beserta senyuman (keperluan Emosi) dan juga dengan membuat penjelasan tentang apa strategi untuk menyelesaikan tugasan berkenaan (keperluan Intelektual).


Jadi dalam sebuah organisasi, kita semua adalah manusia dan manusia sentiasa perlukan Emosi yang stabil, Fizikal yang cergas, Intelektual yang lengkap dan Spiritual yang mantap.
Setiap unit yang memberi khidmat bukan sekadar bertanggungjawab memenuni keperluan Fizikal pelanggan, tetapi juga keperluan Emosi mereka bersama dengan keperluan Intelektual. Kalau dapat layan sedikit keperluan Spiritual pun lagi elok.

Bila kita bekerja dalam sesebuah organisasi, tanggungjawab kita adalah untuk selesaikan tugasan (Fizikal), menjaga keharmonian dan kemesraan sesama pekerja (Emosi), berkongsi ilmu pengetahuan (Intelektual) serta berpesan-pesan tentang amanah, kebenaran dan seumpamanya (Spiritual).

Begitu juga dalam hubungan kekeluargaan. Dalam kita berumahtangga dan menjadi ketua keluarga, tanggungjawab kita bukan setakat zahir seperti makan, minum, pakaian dan tempat tinggal (Fizikal) untuk ahli keluarga saja tetapi juga dari aspek batin iaitu perasan cinta & kasih sayang (Emosi), mendidik ilmu yang berguna (Intelektual) dan juga ilmu akhirat (Spiritual).


Tetapi bagaimana dengan pelajar di sekolah, adakah pembelajaran mereka seimbang dalam konteks empat keperluan ini?
Pembelajaran yang berorientasikan peperiksaan banyak memfokus kepada pembangunan Intelektual. Pelajar jadi "bijak" tapi masih ramai yang gagal untuk beradaptasi dalam masyarakat terutama bila tamat proses pembelajaran dan ingin memulakan kerjaya.

Mereka yang aktif kokurikulum dapatlah bangunkan potensi Fizikal manakala keperluan Spiritual diterapkan sebahagiannya masa kelas agama dan moral, manakala selebihnya diserah kepada sekolah agama.

Bagaimana dengan keperluan Emosi? Bagaimana pelajar sekolah memenuhi keperluan Emosi mereka? Pilihan yang ada hanyalah dengan meletakkannya di bahu ibu bapa dan masyarakat sekeliling.

Jika ibu bapa tidak dapat penuhi keperluan itu, maka mereka akan cari sendiri, biasanya melalui rakan sebaya. Dan apa seterusnya akan terjadi selepas itu bergantung kepada kebijaksanaan mereka memilih rakan tersebut.

Wednesday 19 September 2012

Bagaimana peroleh pendapatan lumayan dari Internet?

Mungkin kita sedia maklum bahawa ramai pengguna Internet mendakwa mereka berupaya memperoleh pendapatan yang lumayan dari Internet, tetapi pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri sejauh mana kesedaran dan pengetahuan kita tentang fenomena ini?




Saban hari kita boleh lihat wall Facebook kita dipenuhi dengan pelbagai promosi dan iklan daripada rakan-rakan yang menjalankan perniagaan dalam Internet, malah anda sendiri pun mungkin turut serta mencuba nasib untuk menjual sesuatu melaluinya. Tetapi adakah anda mempunyai ilmu yang cukup mengenainya?

Anda mungkin tidak sedar yang anda sebenarnya tidak tahu bagaimana melakukan perniagaan Internet anda dengan betul!

Mungkin setelah berkali-kali mencuba dan tidak mendapat hasil seperti yang diharapkan, barulah anda sedar yang anda tidak tahu sebenarnya bagaimana mereka yang telah berjaya boleh mampu mencapai pendapatan seperti yang mereka katakan itu.

Tetapi kadang-kadang kita juga hairan bagaimana orang lain yang buta IT sekalipun mampu dapat banyak duit dari dunia online. Adakah mereka buat sesuatu yang tidak beretika? Adakah mereka bernasib baik dapat untung dari skim cepat kaya? Jangan buruk sangka dan berfikiran negatif, mungkin mereka sebenarnya tidak sedar yang mereka tahu bagaimana hendak mencapai kejayaan pendapatan lumayan dari Internet ini.

Bagi anda yang selalu mengikuti perkembangan semasa dan membaca blog pakar-pakar pemasaran Internet, kemungkinan besar anda sudah sedar bahawa anda tahu bagaimana Internet boleh memberikan pendapatan lumayan kepada anda. Persoalannya sekarang ialah, "Bilakah lagi anda hendak bertindak?"

Adakah anda masih keliru, atau mabuk informasi? Pilihlah sajalah satu jalan yang hendak dituju, fokus dan cepat gerak!

Walau apapun status anda sekarang, atau di mana quadron anda dalam rajah di atas, faktor Mentor atau Guru adalah satu daripada kunci penting untuk melengkapkan pengembaraan dan perjuangan anda untuk meraih pendapatan dari Internet. 

Konvensyen Pakar Internet pada 20 - 21 Oktober 2012 nanti adalah kesempatan dan peluang terbaik untuk kita semua mengemaskini ilmu tentang perniagaan Internet, berjumpa dan berguru dengan pakar-pakar yang telah berjaya dalam bidang masing-masing, serta meluaskan rangkaian sosial perniagaan kita dengan mereka yang sama-sama bergiat dalam industri ini. Siapa tahu, mungkin merekalah yang akan jadi rakan niaga strategik anda di masa akan datang!


Dalam konvensyen 2 hari itu, 8 Pakar Perniagaan Internet akan mendedahkan cara yang mereka gunakan dan telah "Terbukti Berkesan" bagaimana untuk menghasilkan pendapatan lumayan puluhan ribu ringgit (4 -5 angka) setiap bulan hanya melalui internet. Mereka adalah anak-anak muda tempatan yang ada antaranya telah mencipta nama di persada antarabangsa!

Jika mereka boleh lakukannya, kenapa anda tidak? Jom bertindak sekarang, dapatkan tiket ke konvensyen ini sebelum kehabisan. Harga tiket yang hanya RM99 adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan potensi pendapatan dan ilmu yang sangat bernilai yang bakal ditimba dari mereka. Siap ada bonus Pakar Software bernilai RM199 lagi! Tapi awas, tempat adalah terhad dan harga tiket akan naik pada bila-bila masa! 

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila layari http://bit.ly/bizinternet769





Thursday 13 September 2012

8 Pakar Bisnes Internet Dedah Rahsia Bagaimana Hasilkan Pendapatan 4-5 Angka Sebulan Melalui Internet

Ketahui rahsia bagaimana 8 orang pakar bisnes Internet Malaysia menghasilkan pendapatan bulanan 5 angka hanya melalui Internet. Mungkin ramai yang telah mencuba 1 atau 2 cara bisnes Internet tetapi masih belum mendatangkan hasil seperti yang diharapkan.

Bagaimana kalau anda ditunjukkan 8 cara yang berlainan oleh 8 pakar bisnes Internet yang merupakan anak tempatan yang telah terbukti berjaya? Apakah lagi alasan anda?

Jadi, jom kita beramai-ramai menghadiri Konvensyen Pakar Bisnes Internet Malaysia yang julung-julung kali diadakan di Kuala Lumpur pada 20 & 21 Oktober 2012 nanti.

Saya telah dapatkan tiketnya dengan harga RM99 sahaja untuk konvensyen 2 hari ini, memang harganya sangat berpatutan. Dan saya percaya anda tidak akan menyesal jika menyertainya. Jumpa saya di sana nanti ya!

Tempah tiket anda sekarang kerana tempat adalah terhad. Klik sini untuk maklumat lanjut.



Monday 27 February 2012

Kaedah menentukan permintaan pasaran


Adakah anda sedang menjual apa yang pelanggan anda mahu?
Bagaimana anda tahu bahawa anda sedang menjual sesuatu yang diperlukan atau dikehendaki oleh bakal pelanggan anda?

Ketahui kedah bagaimana untuk membuat penyelidikan dan menentukan tentang permintaan pasaran secara mudah menerusi Internet. Bacalah artikel saya di Utusan Malaysia bertajuk "Bagaimana Mengkaji Permintaan Pasaran".



Dalam artikel kali ini saya membincangkan tentang bagaimana menggunakan Google Adwords Keyword Tool, eBay Pulse dan Amazon BestSeller untuk membuat kajian asas tentang permintaan pasaran.

Pastikan anda membacanya, kerana tanpa mengetahui apakah permintaan sebenar pasaran, anda mungkin sedang membuang masa anda yang sangat berharga itu!


Friday 24 February 2012

10 tips elak dari ditipu di Internet


Videoblog terbaru saya di Utusan Online telah di-upload. Jom layari laman video Utusan Online jika anda belum menontonnya.

http://xtive.utusan.com.my/video.php?v=411

Dalam video ini saya berkongsi tentang 10 tips bagaimana hendak mengelak daripada ditipu semasa berurusan di dalam Internet.

Secara ringkasnya, 10 tips tersebut ialah:

  1. Jangan respon emel mencurigakan yang konon dari pihak bank
  2. Jangan respon emel yang mohon pertolongan dan menawarkan imbuhan lumayan
  3. Hati-hati dengan tawaran pekerjan yang memerlukan anda membayar dahulu.
  4. Jangan mudah terpedaya pada laman web yang cantik.
  5. Beli dari penjual yang ada reputasi baik
  6. Guna kaedah pembayaran yang selamat
  7. Jaga maklumat kad kredit dan akaun bank
  8. pasang perisian anti virus dan keselamatan internet
  9. elak buat transaksi sewaktu akses wifi percuma
  10. Jangan benarkan orang lain guna akaun anda.
Kongsikan artikel & video ini supaya rakan-rakan kita tidak mudah terpedaya sewaktu berurusan di Internet.


Bagaimana kerjaya kewartawanan saya bermula

Sempena dengan sambutan Hari Wartawan Malaysia pada 29 Mei (yang bersempena tarikh tertubuhnya Utusan Melayu), izinkan saya berkongsi kisah ...